Cerpen: Titis-titis Kasih (Terbaru)

PENULIS : Hasif Hamsyari

E-MEL: acip203@yahoo.com

HUJAN dari tadi tidak henti-henti malah makin galak nampaknya. Aku merenung ke luar jendela buruk itu sambil mengenang nasib diri yang menghempap atmaku.

Telah 14 tahun rupanya aku membilang hari tanpa ‘bin’. Siapa sanggup tidak mempunyai ‘bin’ atau ‘binti’ sebagai tanda diri ini berayah kepada si anu, beribu pada si fulan? Aku tidak sanggup dianggap anak luar nikah dengan nama tunggal saja. Muhammad Sufian Jusoh. Aku sepatutnya Muhammad Sufian bin Jusoh! Aku anak luar nikah!

Aku ingin sekali mendapat kehidupan seperti remaja-remaja lain. Hidup dengan aman di samping keluarga tersayang. Bermesra-mesraan menikmati kehidupan dengan keluarga yang sentiasa memberikan dorongan. Aku mahukan itu, ayah, ibu! Hidupku seakan menumpang kasih orang lain.

Betapa pilunya hati merintih hiba pabila ditanya ibu dan ayah. Mujurlah ibuku dan ayahku berhati mulia. Aku dilayan sama taraf dengan adik beradikku yang lain. Dan tidak pula diri ini dianak tirikan. Syukur Alhamdulillah…

Ku bermenung sendirian. Mengimbau bagaimana aku mendapat tahu yang aku ini hampir setaraf dengan yatim piatu… Sewaktu itu, aku di darjah satu.

HATIKU gembira nan kepalang. Ibu dan ayah memakaikan aku pakaian sekolah lengkap dan kemas. Adikku, Syukri pula siap dalam pakaian rasmi tadikanya yang berwarna merah jambu. Kami menempuh alam sekolah akhirnya..

Sambil itu, aku melihat ibuku menulis namaku pada buku-buku tulis. Sehabisnya, dia menulis pula pada buku-buku adikku itu. Namaku, Muhammad Sufian bin Abdullah. Adikku pula Muhammad Syukri bin Jusoh. Aku segera mendapat perbandingan.

“Ibu, kenapa nama Pian bukan macam nama adik? Kenapa ‘bin Abdullah’ bukan ‘bin Jusoh’?” aku bertanya kerana musykil.

Ibuku segera mematikan penulisannya. Dia merenungku. Aku membalas renungan itu dengan mengharapkan jawapan kepada persoalan itu. Ku tatap matanya tanpa berkerdip hingga ibuku tewas pada pandangan mata seraya mengeluarkan sebuah keluhan panjang.

Nampaknya, tiada jawapan walau sebutir kata. Aku kecewa. Bapaku namanya Jusoh. Bukannya Abdullah. Jadi, siapa pula Abdullah itu? Aku mengerti sekarang Abdullah ertinya Hamba ALLAH. Tapi, kenapa kanak-kanak lain mempunyai nama bapa mereka sendiri?

Jenuh aku menunggu di ruang tamu. Ibuku membiarkan persoalanku tergantung begitu saja. Mungkin pada fikirannya, umurku yang masih muda mustahil boleh memahaminya. Pian faham, ibu…

Tiada guna untuk aku duduk menghadap ibuku lebih lama lagi di situ. Ibuku jelas agak gelisah kerana tidak menjawab pertanyaanku. Dengan berat hati, aku bangun menuju ke muka pintu. Aku ingin bermain dengan rakan-rakanku.

Malam itu, ku intip dari lubang pada pintu bilik. Mendengar apa yang disembangkan ibu dan bapaku. Mujur waktu itu Syukri telah pun lena di atas katil. Makanya, aku mampu mendengar dengan jelas sekali dan selesa walaupun keadaan rumah telah pun gelap. Hanya bercahayakan pelita minyak tanah yang samar-samar warna sinarnya.

“Pian tanya pagi tadi. Kenapa nama dia lain dari adik-adiknya…” terdengar ibunya memulakan bicara.

“Habis awak cakap apa?”

“Nak cakap apa? Saya diam ajelah…” katanya. Aku terpinga. Maklum saja, aku masih setahun jagung. Banyaklahperkara yang tidak ku ketahui. Apapun, aku berani bertanya. Namun, jawapannya hilang tanpa dibalas langsung. Seperti pagi tadi.

“Kesian anak kita. Nanti, mintak tukar nama boleh, bang?”

“Nama apa?”

“Muhammad Sufian Jusoh?” aku pelik semula. Mana ‘bin’nya? Tapi soalan itu ku bertanya pada diri sendiri.

“Bila nak pergi? Abang tak ada masa…” aku mendengar setakat itu. Aku mengeluarkan keluhan kehampaan. Aku segera kembali ke katilku lalu tidur tanpa jawapan yang masih belum kutemu.

Beberapa minggu berikutnya, aku ditukar dengan nama yang ibuku sebutkan kelmarin. Muhammad Sufian Jusoh. Segeranya aku bertanya pada ibuku. Maklum saja, waktu itu aku masih kecil lagi. “Mana ‘bin’?”

Ibuku kelihatannya terpana seketika. Aku buat-buat tidak tahu. Aku inginkan jawapan. Namun, seperti kelmarin, ibuku diam seribu bahasa. Hanya diluahkan sebuah lagi jawapan yang bukan ku inginkan. Aku menanti lagi dan ku tahu ibuku seakan perasan bahawa aku mendesaknya.

Agak lama juga ku menunggu, akhirnya terluah kata dari mulut ibuku…

“Pian, ibu mintak maaf… Pian tak boleh ada ‘bin’ ayah…”

“Kenapa?”

“Sebab… sebab…” ibuku teragak-agak untuk menyambung bicara. Ku tahu, soalan itu seperti boleh mendatangkan kemurungan. Kerana itu dia berkata dalam kepayahan… “Nanti, Pian dah besar Pian tahulah…” pujuknya lembut.

14 TAHUN aku mencari jawapan yang dikatakan ibuku hanya diketahui bila aku meningkat dewasa. Kini, melalui pelajaran agama yang diajar ustazku di sekolah, jawapannya mula mempamerkan diri perlahan-lahan. Namun, dalam perlahan itu, masih ada kesamarannya yang terlindung.

“Anak luar nikah tidak berhak mengambil satu pun harta bapanya. Sungguh dia merupakan yang paling tua. Ini ditegah sama sekali melainkan ibu bapa serta adik-beradik yang lain bersepakat ihsan padanya,” kata itu bermain di fikiranku.

Aku dapat rasakan yang aku ini anak luar nikah. Ini berdasarkan hujah ustaz itu lagi yang menguatkan dakwaan fikiranku ini.

“Anak luar nikah tidak boleh ber’bin’ atau ber’binti’kan sesiapa melainkan Abdullah yang bererti Hamba ALLAH. Kebiasaan yang dilakukan ibu bapa, mereka hanya meletakkan nama bapa tanpa ‘bin’ di hujung nama anak luar nikah itu seperti Siti Sufiah Isa. Isa itu ialah bapanya…” ujar ustaz.

Aku mengerti sekarang. Aku bukanlah sesiapa. Mujur ALLAH menganugerahkan aku kebijaksanaan untuk dijadikan bekalan pada masa depan. Kebijaksanaan ini akan ku kekalkan hingga aku mencapai kejayaan ke menara gading. Kerana, aku tidak boleh mengharapkan ihsan mereka semata-mata!

TUHAN di sampingku. Membantu dalam hidup seharianku. Aku bersyukur kerana ALLAH memanjangkan riwayatku. Aku hidup di dunia ini daripada-Nya. Aku keluar melalui rahim ibuku. Masakan aku melupakan ibuku sungguh dia tidak layak untuk aku menggelarnya ibu kerana aku anak luar nikah?

Sungguhnya, aku faham apa yang dimaksudkan anak luar nikah. Aku tergolong dalamnya. Ibuku berhati mulia. Dia melahirkanku tanpa cacat dan cela. Tohmahan keluarga menjadi tempias pada diriku setibanya aku lahir ke dunia ini. Namun, mereka menyayangiku sejurus aku dikurniakan kebijaksanaan akal fikiran kurniaan TUHAN.

“HOI!” sergahan Faris mengejutkan aku dari lamunan. Hidupku di sekolah tiada erti berkawan. Mereka semua mencercaku. Itu satu faktor mereka menjauhkan diri daripadaku. Itu juga satu faktor aku menjauhkan diri daripada mereka.

“Hmm… Kenapa?” aku memberanikan diri untuk membalas. Bukan Faris seorang sahaja yang ada waktu itu. Ada beberapa lagi gengnya yang bersengkongkol.

“Tak ada apa-apa…” ujarnya selamba. Aku tidak melayan lagi. Langkah kakiku sengaja aku lajukan agar cepat sampai aku ke rumah. “Cuma nak tanya…”

“Tanya apa?”

“Kau ni anak apa?”

“Anak haram!” rakan-rakannya yang lain menjawab.

“Anak apa?!”

“Anak luar nikah!!” lalu mereka pun ketawa berdekah-dekah tanpa sedikit pun menghiraukan perasaanku saat itu. Gelak tawa mereka bingit dan penuh sinis menyakitkan hatiku. Aku jadi malu pabila banyak pelajar mula menoleh ke arahku. Aku tidak pasti adakah orang yang bersimpati dengan nasib yang bukan ditentukan aku ini.

Faris dan rakan-rakannya terus mentertawakan aku juga nasibku. Tiada simpatikah hatta secebis di hati mereka padaku? Aku terkilan benar dalam hati. Dimalukan dengan teruk, siapa tidak kecil hati?

Barangkali mereka tidak merasakan jika mereka di tempatku. Kalaulah mereka semua di tempatku, nescaya mereka akan merasakan betapa azabnya dicerca hanya kerana taraf yang dikatakan orang inferior ini!

Peristiwa memalukan itu sentiasa menghantui diriku. Aku takut ke sekolah jika dijadikan bahan gurauan. Walau apapun, aku sedaya upaya mencuba untuk menjadikan diriku seorang yang tabah dan cekal menghadapi kehidupan.

PETANG nan redup, aku menghampiri ibuku yang sedang berehat ketika itu. Hatiku bagaikan mendesak agar aku mengatakan sesuatu yang bisa membuatkannya tenang. Namun apa yang harus ku luahkan? Perihal ‘bin’ itu lagi? Cukuplah… Aku tidak langsung menyalahkan mereka berdua kerana mereka jugalah aku lahir ke dunia ini. Itu pasti!

Sudah menjadi tanggungjawabku untuk menjadi anak yang berbudi. Akan ku balas jasa mereka dengan kejayaan berlipat ganda. Akan aku buat mereka bangga dengan adanya anak sepertiku. Itu tekadku. Itu azamku!

“Pian mintak ampun…” aku memulakan bicara. Bola mata ibuku terkelip-kelip beberapa ketika. Akhirnya, dengan dahi berkerut ibuku bertanya.

“Kenapa?” aku teragak-agak untuk menjawab. Namun, aku akhirnya berjaya menggagahkan diri.

“Sebab Pian mak jadi susah,” jawabku lalu melepaskan hembusan nafas.

“Apa Pian cakap ni?”

“Tentang status Pian dalam keluarga ni,” aku tidak tahu bagaimana mulutku boleh berkata sedemikian rupa. Ada nada biadap dalamnya. Aku berasa serba-salah. Ibuku juga serba-salah. Dia memandang sekeliling untuk menumpukan penglihatan. Agak lama juga, ibuku bertanya lagi kepadaku.

“Mana Pian tahu semua ni?”

“Maafkan Pian,”

“Mana Pian tahu semua ni?” ibuku segera mengulangi soalan yang sengaja tidak aku endahkan. Hendak tak hendak, akhirnya aku menguatkan semangat untuk membalasnya.

“Ustaz ajar…” ibuku melelapkan mata sambil menghempaskan keluhan. Dengan perasaan hiba aku tunggu, ibuku membuka mata lantas mengalirkan air mata.

Ibuku mendepangkan kedua-dua tangannya. Tanpa rasa segan atau malu, aku membalas pelukannya. Apa perlunya rasa malu dengan seorang insan bergelar ibu?

Dapat ku rasakan, air jernih yang mengalir dari mata ibuku itu jatuh menitis ke bahu kiriku. Aku menganggap air mata setulus kasih ibuku itu seperti penyembuh dosa. Menghilang dan menyerap dosa-dosaku.

Aku tergamam. Aku ini lelaki. Masakan aku terlampau gagah untuk memaksa perasaan sendiri? Titisnya air mataku disentuh perasaan hiba yang mengucup jiwaku.

“Ibu mintak maaf, Pian… Ibu berdosa pada Pian…” ujarnya. Mendengarkan itu, tangisanku yang tidak berbunyi kian menggila galaknya.

“Ibu… ibu tak salah apa-apa pun kat Pian…” kataku cuba berlembut.

“Masa depan Pian boleh hancur dengan semua ni. Sebab ibu, Pian kena ejek dengan kawan-kawan, kan?” aku terdiam seperti dipanah petir. Ibuku rupa-rupanya tahu hal itu. “Pian tak berdosa, sayang… Hidup Pian, hidup ibu jugak. Betapa payah ibu lahirkan, takkan mudah untuk ibu tidak mengaku anak.”

Ibuku diam semula. Mencari ruang untuk menjadikan diri lebih selesa. Dia mengusap belakang badanku. “Betapa buruk sekali pun anak ibu, ibu tetap mengaku bahawa Pian adalah anak ibu. Ibu tak suka anak-anak ibu dibanding-bandingkan…” katanya memberikan aku perangsang semangat.

Hari yang gelap dalam hidupku mula memancarkan sinar. Aku cuba tersenyum dalam kepayahan. Air mata yang mengalir kekadang masuk ke mulutku. Tidak ku endah sebaliknya ku eratkan lagi pelukan.

Hari ini, aku mendapat satu hakikat yang telah lama tersurat. Cumanya, aku tidak memahami. Setiap titis air mata ibu yang mengalir ialah gambaran betapa besarnya kasih seorang ibu. Itulah yang membayangkan, titis-titis kasih mutiara yang tidak ternilai harganya…

TINTA PENULIS…

Salam…

Inilah dia karya yang membuatkan saya berjaya memenangi Pertandingan Cerpen Minggu Sastera di SMK Seri Tanjong. Saya bawakan secara esklusif kepada anda hanya melalui blog ini.

Diharapkan kita tidak memandang keji pada anak-anak luar nikah kerana bukan salah mereka untuk hidup di dunia ini. Semoga karya saya ini menjadi iktibar buat kita semua. Kepada pembaca budiman, terima kasih kerana sudi membaca karya saya buat pertama kali di laman ini.

Teristimewa ku rakamkan buat anak-anak luar nikah atau anak yatim di seluruh Malaysia, hidup ini adalah milik kita bersama.

Salam hormat,

HASIF HAMSYARI

1 Maklumbalas sehingga kini »


RSS Komen · URI Trackback

Katakan

Anda pasti adalah telah log masuk untuk mempos komen,